Nyatakan dokongan kepada perlembagaan, hilangkan sangsi orang Melayu

Nyatakan dokongan kepada perlembagaan, hilangkan sangsi orang Melayu

am@hmetro.com.my

Pontian: Pemimpin DAP disaran supaya lebih kerap menyatakan dokongan terhadap Perlembagaan Persekutuan supaya orang Melayu dan ahli Umno tidak sangsi dan menolak parti berkenaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata langkah itu penting bagi membolehkan orang Melayu dan ahli Umno tidak lagi menjauhi parti itu.

Katanya, adalah amat penting buat pemimpin DAP sering membuat kenyataan terbuka mendukung

empat perkara termaktub dalam Perlembagaan iaitu Islam adalah agama Persekutuan, kedudukan raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Sekarang ini isu dimainkan tentang kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, dua perkara iaitu kes Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan hubungan kita dengan DAP.

“Disebabkan itu, saya harap pimpinan DAP perlu menjelaskan lebih kerap mereka berpegang dan sentiasa mendukung empat perkara dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media Program Ramah Mesra Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Pontian di sini, hari ini.

Ahad lalu, media melaporkan Umno sekali lagi berdepan dengan penolakan orang Melayu selepas keputusan enam PRN Sabtu lalu menyaksikan parti itu hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi.

Penganalisis politik, Mohammad Tawfik Yaakub dilaporkan berkata ,tindakan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) terutama DAP dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan, dilihat menjejaskan parti berkenaan.

Katanya, perkara itu dilihat diterjemahkan secara jelas, bukan saja oleh ahli Umno yang mengundi Perikatan Nasional (PN), malah majoriti pengundi Melayu yang kecewa dengan tindakan Umno untuk bersekongkol dengan PH.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan I, berkata DAP tidak boleh hanya mengharapkan pemimpin Umno untuk menjelaskan keikhlasan parti itu kepada rakyat.

“Saya tahu perkara ini sudah ada di dalam deklarasi DAP pada 2012 dan Deklarasi DAP@50 pada 2016. Dalam deklarasi itu, DAP menyatakan sokongan terhadap Islam, Melayu, Raja dan Bahasa Melayu.

“Bagaimanapun, hal tentang sokongan ini tidak sampai kepada pemimpin di peringkat akar umbi, ahli Umno dan orang Melayu. Satu dua ceramah tidak cukup penjelasan lebih kerap perlu diberikan.

“Saya sudah dengar ceramah Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, saya sendiri ada di pentas yang sama. Dia ada sebut DAP tidak diharamkan kepada DAP mendukung Perlembagaan Persekutuan yang terasnya empat perkara ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd