London: Seorang wanita United Kingdom (UK) berusia 34 tahun, menjadi nenek muda selepas menyambut kelahiran cucu pertamanya, tiga minggu lalu.
Rachel McIntyre berkata, ramai orang terkejut apabila dia memberitahu dia kini bergelar nenek kepada cucu perempuannya.
“Orang tidak percaya saya ibu kepada anak perempuan kerana mereka menyangka kami macam adik-beradik.
“Apabila saya memberitahu, saya sudah bercucu mereka lagi terperanjat sampaikan mereka mahu melihat kad pengenalan saya untuk mengetahui umur saya,” katanya.
Rachel, dari Edinburgh, berkata dia mula menjadi ibu ketika usianya 16 tahun, malah anak perempuan sulungnya hamil pada usianya 17 tahun, tahun lalu.
“Saya sangat terkejut apabila mengetahui dia hamil.
“Saya tahu, bukan mudah menjadi ibu muda sepenuh masa, tapi apabila anak saya hamil saya teruja dan menyokongnya,” katanya.
Dia yang menyambut kelahiran cucunya 25 Julai lalu, lega dan seronok melayan kerenah cucunya yang tidak banyak meragam.
“Nasib baik cucu saya bayi yang baik.
“Dia tidak menangis sebenarnya. Dia hanya membuat bising apabila dia lapar, makan dan tidur,” katanya.
Katanya, dia tidak sabar kembali ke gimnasium dan mahu menjadi pengasuh bertenaga untuk cucunya.
“Kelebihan jadi nenek muda ini apabila saya bertenaga untuk menguruskan cucu.
“Nanti, apabila cucu perempuan sudah besar, saya boleh bawa dia keluar ke tempat lain dan saya tidak akan penat seperti nenek yang lebih berusia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd